Syaikh Sofiurrahman al-Mubarakfuri mencadangkan Tafsir Ibn Kathir
23 November 2012 § Tinggalkan komen
Tafsir Ibnu Katsir Menurut Syaikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri:“Sesungguhnya al-Qur’an yang mulia adalah kitab paling agung yang dengannya Allah memuliakan umat Islam ini. Al-Qur’an adalah kitab mulia yang tidak datang kepadanya kebathilan sama ada dari depan atau pun dari belakangnya, diturunkan dari Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji, dan memberikan petunjuk ke jalan yang paling lurus. Dan sesiapa yang meninggalkannya, sungguh dia berada dalam kerugian.
Umat Islam telah memberikan perhatian yang tiada tara terhadap al-Qur’an sejak generasi Salaf yang telah berlalu dari umat ini. Para ulama umat ini telah membahaskan tentang al-Qur’an sama ada dalam permasalahan hukum-hakam, penjelasan, nasihat, faedah, pelbagai peristiwa dan kejadian, ibarat (perumpamaan), mukjizat, i’rab (huraian perkataan), pelbagai jenis qira’at (jenis bacaan), kepelbagaian lahjah (loghat), sehingga keadaan geografi tempat-tempat yang disebutkan di dalam al-Qur’an, dan masih banyak lagi perbahasan-perbahsan lainnya.
Tafsir Ibnu Katsir merupakan kitab paling penting yang ditulis dalam bab tafsir al-Qur’an, paling agung, paling banyak pula diterima dan tersebar di tengah-tengah umat ini. Kerana Ibnu Katsir rahimahullah adalah seorang yang ahli tentang ilmu-ilmu al-Qur’an dan as-Sunnah, serta ilmu tentang sejarah umat-umat terdahulu dan yang akan datang, ditambah lagi dengan kurniaan Allah ke atas beliau berupa pandangan yang tajam dan mendalam tentang sunnatullah yang terjadi berkaitan dengan kemaslahatan, kerosakan, kemajuan, kemunduran, serta kehancuran umat ini.
Beliau memiliki pengetahuan yang luas atas apa yang diisyaratkan pada dasar-dasar perbahasan sebelumnya. Dan beliau rahimahullah memilih riwayat-riwayat tafsir yang ma’tsur (yang datang daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dalam menafsirkan al-Qur’an. Beliau banyak membawa hadis-hadis yang marfu’ (bersambung sampai kepada Nabi), perkataan-perkataan para salaf ash-Sholeh dari kalangan sahabat, tabi’in, dan para imam pembawa petunjuk yang datang setelah mereka serta dari kalangan ulama yang memiliki kekuatan ilmu dan pandangan dalam bidang tafsir al-Qur’an dengan tidak mengabaikan sisi-sisi lain yang telah kami sebutkan. Oleh ekrana itulah tafsir ini merangkum dua seni riwayah dan dirayah, serta manqul dan ma’qul. Kaum muslimin dapat menuai faedah yang sangat besar, dan kitab tafsir ini dapat diterima serta mendapat perhatian yang lebih berbanding dari kitab-kitab tafsir lainnya.” (Mukaddimah al-Mishbah al-Munir fii Tahdzib Tafsir Ibnu Katsir, dinukil semula dari: http://atsar.ilmusunnah.com/index.php?route=product/product&product_id=77)
Kredit kepada Q&S Islamic Media, Ilmu Sunnah dan Abu Numair Nawawi Subandi.
Tinggalkan Jawapan